Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Wira Amiruddin Embi berkata, pasukan negara ha­nya meletakkan sasaran sederhana selepas menilai kemampuan sendiri.

“Sudah semestinya tuan rumah, Singapura mahu memenangi pingat emas kerana mereka telah membuat persiapan awal.

“Thailand dan Filipina juga akan menjadi pencabar utama dalam perebutan pingat emas.

“Dengan kemampuan yang kita ada, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada skuad negara tetapi saya berharap mereka mampu memberikan saingan sengit dan melakukan kejutan.

“Pasukan ragbi negara telah memulakan latihan hari ini (semalam) selepas berakhir saingan Liga Super.

“Hujung minggu ini kita akan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Singapura.

“Pada 18 April pula, pasukan akan berlepas ke Melbourne untuk menjalani latihan dan beberapa perlawanan persahabatan di sana,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M) dan Combined Old Boys Rugby Association (COBRA) menjalinkan kerjasama buat kali kedua bagi penganjuran Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Bawah 16 Tahunyang masuk edisi ke-12.

Kejohanan itu akan berlangsung pada 11 dan 12 April di Akademi Badminton Setia Alam, Shah Alam.

Kejohanan bakal melibatkan 21 pasukan termasuk dua dari luar negara iaitu Australia dan Taiwan.

Menurut Presiden Kelab Ragbi Cobra, Tommy Pereira, kejohanan ini merupakan platform bagi melahirkan bakat-bakat baharu dalam arena ragbi negara.

“Saya harap kejohanan seperti ini dapat mencungkil bakat baharu bagi dijadikan pelapis untuk skuad kebangsaan.

“Kita juga mahu memastikan perkembangan berterusan sukan ragbi negara di peringkat akar umbi,” katanya.

Kejohanan tahunan yang bermula sejak 2004 itu menjadi me­dan bagi mencungkil bakat muda ragbi dan mendapat pengiktirafan daripada KRM.

Turut hadir dalam sidang akhbar semalam adalah Ketua Pegawai Eksekutif YR1M, Ung Su Ling.