Selain itu, karnival tahunan itu turut berjaya mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dan seterusnya menjadi atlet yang menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Salah seorang daripada mereka adalah Sarjan Khairul Nizar Shamsudin, 30, yang ketika ini merupakan atlet kebangsaan bagi sukan ragbi 15 sebelah.

Khairul Nizar berkata, beliau memulakan karier sebagai pemain ragbi ketika di bangku sekolah lagi iaitu ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Pulau Pinang dan sejak itu kariernya terus berkembang sehingga dipanggil untuk mewakili negara bagi kategori bawah 19 dan 21 tahun.

“Selepas menamatkan zaman persekolahan di Sekolah Perantis Tentera Darat Port Dickson, Negeri Sembilan, saya bermain ragbi untuk pasukan Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja Malaysia dari mula berkhidmat untuk ATM iaitu pada tahun 2004 sehinggalah sekarang lebih kurang 12 tahun.

“Saya sangat meminati sukan ini kerana ia lain dari yang lain, memang ada aspek lasak namun ia memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan kepada saya. Hanya pemain ragbi sahaja yang mengetahui apa kepuasan yang dimaksudkan,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

Khairul Nizar menambah, beliau pertama kali dipanggil untuk mewakili skuad senior negara adalah pada tahun 2004 untuk menyertai pertandingan di China dan kejayaan paling manis sepanjang karier ragbinya adalah apabila Malaysia berjaya menjuarai Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Asia (ARC) tahun ini.

Sarjan Khairul Nizam Shamsudin bersama pingat yang di menangi
Sarjan Khairul Nizam Shamsudin 

Beliau berharap pasukan kebangsaan akan dapat mengekalkan kejuaraan yang digapai untuk tahun-tahun yang seterusnya.

“Bukan mudah untuk memenangi kejuaraan ARC kerana kami perlu bersaing dengan negara-negara kuasa besar ragbi Asia seperti Singapura, Filipina dan Sri Lanka yang seperti diketahui mereka ini merupakan pasukan yang kuat dan sukar untuk ditewaskan.

“Namun, berkat usaha yang tidak pernah mengenal jemu dan pengorbanan yang dilakukan sebelum ini sememangnya kami layak untuk menjadi juara dalam pertandingan berkenaan,” ujarnya.

Beliau yang tidak akan menyertai pasukan kebangsaan dalam temasya Sukan SEA tahun ini berkata, sukan ragbi negara mempunyai masa depan yang cerah dengan kemunculan ramai pemain-pemain muda yang berbakat serta berdaya saing.

Selain itu, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan dapat membantu Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dengan menyediakan dana bagi membolehkan pemain menimba ilmu dan pendedahan di luar negara kerana ia amat penting kepada kemajuan sukan berkenaan.