Hanya satu pingat gangsa berjaya direbut atlet negara yang bertanding pada Sukan Komanwel 2018 yang masuk hari ketiga hari ini, menerusi acara angkat berat.

Di Carrara Sports Centre 1, Muhamad Fazrul Azri Mohdad berjaya mencatat jumlah angkatan 328kg dalam kategori 85kg. Dalam disiplin snatch, Fazrul berjaya mengangkat 145kg, diikuti disiplin clean & jerk 183kg.

Pingat emas acara ini dimenangi oleh Venkat Rahul Ragala dari India (338kg) manakala pingat perak dirangkul oleh atlet Samoa, Don Opeloge (331kg).

Acara squasy yang diadakan di Oxenford Studios hari ini turut menarik tumpuan, apabila pemain lelaki kebangsaan, Mohd. Nafiizwan Adnan melakar kejutan dengan mengalahkan pilihan utama dan juara bertahan, Nick Matthews dari England dalam pusingan suku akhir.

Nafiizwan yang diletakkan sebagai pemain pilihan ke-12 kejohanan mempamerkan semangat melawan yang tinggi untuk memenangi perlawanan tersebut dengan kiraan 3-2. 

Kemenangan ini melayakkan pemain yang berasal dari Terengganu ini melangkah ke separuh akhir esok, di mana dia akan bertemu dengan seorang lagi pemain England, James Wilstrop.

Datuk Nicol David turut melangkah ke separuh akhir esok apabila berjaya menewaskan lawannya Alison Waters, juga dengan kiraan 3-2.

Jumlah pungutan pingat secara keseluruhan masih dikuasai tuan rumah, Australia dengan 19 pingat emas, 17 pingat perak dan 20 pingat gangsa, diikuti England (Emas-14, Perak-12, Gangsa-5) dan Kanada (Emas-5, Perak-7, Gangsa-6). - UTUSAN ONLINE

 

KEDUDUKAN NEGARA EMAS PERAK GANGSA JUMLAH
1 AUSTRALIA 19 17 20 56
2 ENGLAND 14 12 5 31
3 KANADA 5 7 6 18
4 INDIA 4 1 1 6
5 AFRIKA SELATAN 4 0 3 7
6 SCOTLAND 3 6 6 15
7 NEW ZEALAND 3 3 5 11
8 WALES 2 3 1 6
9 MALAYSIA 2 0 1 3
10 BERMUDA 1 0 0 1
           
* kedudukan kutipan 10 teratas
Sumber: results.gc2018.com