Buruan pingat emas atlet negara pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia hari ini berjaya membuahkan hasil, kali ini menerusi acara terjun.

Gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong berjaya menghasilkan kilauan pingat berharga itu, dengan menjuarai acara 10 meter platform berirama wanita yang berlangsung di Pusat Akuatik Optus.

Satu lagi pasangan negara, Leong Mun Yee/Nur Dhabitah Sabri berjaya meraih gangsa acara yang sama.

Pandelela/Jun Hoong berjaya memungut 328.08 mata jauh meninggalkan penerjun Kanada, Meaghan Benfeito/Caeli McKay (312.12 mata) di tempat kedua dan rakan sepasukan, Mun Yee/Dhabitah 308.16 mata) di tempat ketiga.

Bagi Mun Yee/Dhabitah, pingat ini adalah yang kedua disumbangkan mereka, kerana terdahulu, dalam saingan 3 meter papan anjal seirama di sebelah pagi, mereka turut memenangi sebutir pingat gangsa.

Sementara itu, dalam acara gimrama berpasukan, pasukan negara yang dianggotai oleh Amy Kwan, Koi Sie Yan dan Izzah Amzan terpaksa akur dengan kehebatan gandingan Cyprus yang hanya dipisahkan hampir tiga mata sahaja.

Dalam aksi final yang berlangsung Pusat Sukan Tertutup Coomera itu, Cyprus merangkul pingat emas selepas memungut 130.625 mata, manakala gandingan negara memungut 127.950 mata menerusi empat disiplin iaitu gelung, bola, belantan dan riben.

Pingat gangsa menjadi milik trio Australia yang memungut 120.800 mata. - UTUSAN ONLINE

 

KEDUDUKAN NEGARA EMAS PERAK GANGSA JUMLAH
1 AUSTRALIA 57 43 45 145
2 ENGLAND 25 30 21 76
3 INDIA 12 4 8 24
4 AFRIKA SELATAN 10 7 9 26
5 NEW ZEALAND 9 10 8 27
6 KANADA 8 22 17 47
7 SCOTLAND 7 11 14 32
8 WALES 7 8 8 23
9 CYPRUS 5 0 2 7
10 NIGERIA 4 4 0 8
** ** ** ** ** **
12 MALAYSIA 3 3 5 11
           
* kedudukan kutipan 10 teratas, termasuk Malaysia
** setakat pukul 9pm (waktu Malaysia)
Sumber: results.gc2018.com