Atlet negara menambah dua lagi kutipan pingat Sukan Komanwel 2018 hari ini, masing-masing satu perak dan satu gangsa dari acara powerlifting dan menembak.

Dalam acara powerlifting di Pusat Sukan Carrara, Gold Coast, atlet para negara, Jong Yee Khie berjaya menggondol sebutir pingat perak menerusi kategori heavyweight setelah berjaya meraih 188.7 mata, kurang 3.2 daripada mata yang diperoleh juara dari Nigeria, Abdulazeez yang meraih 191.9 mata. Pingat gangsa dimenangi oleh Sachin Chaudhary dari India dengan 181.0 mata.

Bagi acara powerlifting, pemarkahan dikira dengan mengambil berat badan si pengangkat yang difaktorkan menerusi formula AH (Haleczko) dan didarab dengan angkatan terberat yang berjaya dilakukan.

Terdahulu, dalam acara 25m pistol di Pusat Menembak BelmontBrisbane, Alia Sazana Azahari berjaya merangkul pingat gangsa dengan mengumpul 26 mata.

Dalam acara ini, pingat emas menjadi milik penembak India, Heena Sidhu yang turut mencatat rekod baharu temasya dengan 38 mata, manakala pingat perak milik penembak Australia, Elena Galiabovitch dengan 35 mata. - UTUSAN ONLINE

 

KEDUDUKAN NEGARA EMAS PERAK GANGSA JUMLAH
1 AUSTRALIA 50 38 42 130
2 ENGLAND 24 29 21 74
3 INDIA 11 4 6 21
4 NEW ZEALAND 9 10 7 26
5 AFRIKA SELATAN 9 6 6 21
6 KANADA 8 21 15 44
7 WALES 7 8 7 22
8 SCOTLAND 6 10 12 28
9 NIGERIA 4 4 0 8
10 CYPRUS 4 0 2 6
** ** ** ** ** **
12 MALAYSIA 2 2 3 7
           
* kedudukan kutipan 10 teratas, termasuk Malaysia
** setakat pukul 9pm (waktu Malaysia)
Sumber: results.gc2018.com