Timbalan Chef de Mission (CDM) Sukan SEA Filipina 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli, yang juga anggota jawatankuasa itu, berkata, jawatankuasa berkenaan juga mahu mendengar perancangan PSM selepas menggugurkan Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak yang dikatakan terbabit dengan masalah disiplin.

“Kami akan berbincang dengan PSM mengenai perancangan mereka kerana perkara ini masih dalam proses pemilihan.

“Saya akan dapatkan maklumat secara terperinci apa yang telah diputuskan dan rasional (keputusan dibuat),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Sains Sukan Tahap 1 anjuran Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, kem sepak takraw negara bergolak apabila dua tekong utama digugurkan dengan alasan disiplin.

Kedua-dua pemain berkenaan sudah membuktikan kemampuan menyumbang bakti kepada negara apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA 2015 dan 2017 dalam acara regu.

Gandingan mereka bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turut memastikan emas milik Malaysia pada Sukan Asia 2018, sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun negara pada temasya itu.

Sementara itu, Ahmad Faedzal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ISN berkata, penganjuran julung kali Kursus Sains Sukan Tahap 1 bersama warga pekak itu mendapat sambutan melalui penyertaan 71 peserta.

Kursus dianjurkan dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) dan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (PSOPM) itu bertujuan meningkatkan semangat ‘inclusivity’ dalam kalangan masyarakat pekak kerana jarang dilakukan oleh mana-mana agensi kerajaan sebelum ini.

“Saya lihat peserta menunjukkan semangat dalam mengambil tahu tentang elemen-elemen sains sukan dan kami akan terus mempromosi semangat “inclusivity” supaya mereka tidak ketinggalan di dalam masyarakat kita,” katanya.

Kursus berlangsung selama lima hari itu memberi pendedahan awal kepada golongan pekak terhadap aspek sains perubatan dan teknologi sukan, sebagai elemen teras dalam persiapan atlet selain membantu meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam perancangan program latihan lebih sistematik. - BERNAMA