Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Muhammed Imran Mansoor berkata, bagi merealisasikan hasrat itu satu kertas cadangan telah dikemukan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri untuk membina sebuah kompleks sukan.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri sudah mengemukakan tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukma pada 2024 selepas Johor tahun depan.

“Perkara tersebut sudah dibincangkan diperingkatkan jawatankuasa tertinggi Sukma.

“Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman juga telah memberi jawapan berhubung perkara itu. Bagaimanapun kita belum mengetahui berapa jumlah peruntukkan yang akan disalurkan untuk Kelantan jadi tuan rumah Sukma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Kem Bola Sepak Anjuran Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Chetok Dengan Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas Bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan MSN di Sekolah Kebangsaan Chetok dekat sini hari ini.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran dua bintang The Red Warriors (TRW) Shahrul Nizam Roshasni dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Turut hadir Guru Besar SK Chetok, Sapian Zakaria.

Muhammed Imran memberitahu, MSN akan mengemukan permohonan untuk mendapatkan dana daripada kerajaan negeri bagi memastikan Sukma 2024 dapat dianjurkan.

Katanya, dana yang diperoleh dari kerajaan negeri dan KBS itu akan dicampur untuk digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrasturuktur sukan di Kelantan.

“Buat masa ini kita masih belum mengenalpasti tapak yang sesuai untuk membina kompleks sukan berkenaan.

“Kita juga akan gunakan sebahagian daripada dana itu untuk program pembangunan atlet,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE