Presidennya, Erick Acker memuji jawatankuasa penganjur kerana melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam menganjurkan acara itu buat julung kalinya.

Acker berterima kasih kepada Kapt (B) Ahmad Sufiani Johari yang menerajui penganjuran acara itu, sukarelawan yang cemerlang daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, FIT Malaysia dan komuniti Putrajaya, media, penonton serta pegawai-pegawai.

"Kami berbangga dengan Malaysia dan rakyat Malaysia. Mereka bukan sahaja peramah tetapi mempunyai sistem sokongan yang baik. Venue juga bagus, kerja sepasukan yang cemerlang daripada sukarelawan, penonton, media, pegawai dan pemain. Pendek kata, kami amat berpuas hati dan tiada rungutan langsung.

"Segalanya positif kecuali cuaca yang memang difahami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acker berkata, penonton dari Malaysia dan luar negara amat gembira dengan persaingan sengit dalam kalangan pemain.

"Terdapat kira-kira 8,000 penonton untuk acara pembukaan dan penutup, yang merupakan satu perangkaan yang hebat," kata Acker.

Beliau memberitahu, walaupun kehadiran penonton selalunya baik pada edisi sebelumnya, tetapi pada kali ini ia adalah kejohanan terbesar dalam sejarah kejohanan sejak ia bermula pada 1988.

Sejumlah 2,500 peserta daripada 117 pasukan dari 26 negara mengambil bahagian dalam pelbagai kategori. Pada edisi sebelum in di Coffs Harbour di New South Wales, Australia, 2,000 peserta dari 20 negara mengambil bahagian.

Dalam edisi kesembilan Piala Dunia FIT Touch, Australia memenangi lapan gelaran dalam acara Lelaki, Wanita, Campuran Terbuka, Lelaki 30, 35 dan 45; Campuran 30 dan Wanita 35.

Sementara New Zealand memenangi gelaran untuk Wanita 27, Lelaki 40 dan Lelaki 50. - BERNAMA