Beliau berkata, hampir kesemua keputusan pengadil berkenaan tidak menyebelahi Bunga Raya yang dibelasah teruk 71-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sekali gus kekal menghuni tempat corot Divisyen Perdana ARC dengan hanya satu mata liga.

“Hampir semua keputusannya (pengadil Tasuku kawahara dari Jepun) tidak menyebelahi pasukan kita. Ini yang kita kena kaji juga, walaupun saya terima hakikat kekalahan besar itu bahawa kita masih jauh di bawah Hong Kong,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas aksi terakhir anak-anak buah Bradley Moni Mika itu.

Prestasi Bunga Raya jelas merudum sedangkan mereka hampir mengejutkan Hong Kong sebelum tewas 30-24 di gelanggang lawan, 15 Jun lalu, selain, dibenam Korea Selatan 52-14 dan 38-16 di Incheon dan Bukit Jalil, bulan lalu.

Namun, Shahrul merumuskan jurang taraf profesional pemain Hong Kong dengan amatur pemain negara begitu luas terserlah, semalam, sekalipun Bunga Raya diperkasa lima pemain import Fiji dan dibimbing Mika dari New Zealand.

“Pemain amatur kita tidak mampu menyaingi lawan yang sudah bertaraf profesional. Jika hendak berdaya saing, liga ragbi dan pemain kita kena dinaikkan taraf profesional atau separa pro.

“Selain itu, kita kena ada lebih ramai macam Dugro (kapten, K. Dinesvaran) yang bermain dengan kelab liga profesional Jepun, Hino Red Dolphins dan Marc Le (Wong Wye Wye, penggantinya semalam),” katanya.

Shahrul menambah, satu ‘bedah siasat’ prestasi pasukan negara dan khidmat Mika sepanjang saingan divisyen ini akan dijalankan sebelum sebarang rumusan dan keputusan diambil KRM.

“Mungkin kena tunggu pembentukan jawatankuasa baharu bagi menilainya selepas mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan KRM penggal 2019/22 pada 13 Julai ini,” katanya yang bakal dicabar Tan Sri Abd. Halim Karim yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Kedah. - UTUSAN ONLINE