Bintang tenis Amerika Syarikat berusia 37 tahun itu, terselamat daripada menjadi mangsa kejutan, selepas tumpas dalam set pertama, sebelum dia mempamerkan kebangkitan menewaskan pemain Rusia Vitalia Diatchenko 2-6, 6-1, 6-0 untuk mara ke pusingan kedua.

Sebagaimana, pemain itu berjuang mengekang asakan pencabarnya yang menghuni ranking ke-83 dunia, Williams kelihatan mempesonakan dengan pakaian yang mungkin kembali menghantuinya. Tertera tulisan di dalam bahasa Perancis iaitu legenda ‘ibu, juara, ratu, dewi’ pada pakaiannya.

Sebaik dia menanggalkan jaket yang disarungnya, pakaian yang memiliki rekaan jalur zebra berwarna hitam dan putih itu menjadikan penampilan Williams kelihatan unik.

“Ia hanya satu peringatan kepada semua bahawa mereka boleh menjadi juara dan juga ratu. Jadi, saya sukakan rekaan pakaian saya ini. Benar, ia sesuatu yang berat untuk saya galas, tetapi begitu juga untuk menjadi Serena Williams,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pakaiannya itu.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic berkata, dia mampu mencipta sejarah sekali lagi dalam usahanya bagi menyapu bersih kesemua empat gelaran Grand Slam dalam satu musim buat kali kedua, selepas mara ke pusingan seterusnya.

Djokovic tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pemain muda Poland, Hubert Hurkacz 6-4, 6-2, 6-2 dalam perlawanan pembukaan. Bintang tenis Serbia itu antara tiga pemain perseorangan lelaki bersama Don Budge dan Rod Laver, yang berjaya merangkul empat Grand Slam.

“Saya meletakkan diri saya dalam situasi di mana saya sebenarnya boleh mencipta sejarah tenis sekali lagi dan sudah tentu, saya menyimpan impian tinggi pada pertandingan ini. Ia bukan rahsia. Tetapi dalam masa sama, ini bukan kali pertama saya berdepan situasi sebegini,” kata Djokovic. – AFP