Katanya, penggunaan nama MySC hanya menggambarkan betapa Malaysia semakin lemah dalam mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan apatah lagi menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 pada 31 Ogos ini.

“Setiap program rasmi kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Perubahan cara sambutan MySC selama sebulan iaitu sepanjang Oktober berbanding HSN sebelum ini yang hanya sehari, bukan alasan yang boleh diterima.

“Malaysia Sports Challenge (MySC) boleh saja digantikan dengan Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau yang kini berada di China kerana bersama Dewan Bahasa Pustaka dalam Pesta Buku Beijing 2019, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong semalam bahawa penjenamaan semula HSN bertujuan meningkatkan prestijnya dalam kalangan penggiat sukan tempatan dan antarabangsa.

“MySC ialah kesinambungan kepada HSN. Inti patinya masih Malaysia, penganjur kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia juga tidak janggal dengan penggunaan bahasa Iain,” kata Steven dalam majlis minum petang MySC 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

HSN mula diperkenalkan pada 2015 yang menjadi inisiatif kementerian itu dalam misi menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Tegas Saleeh, sasaran penyertaan MySC sebanyak lima juta orang melibatkan semua peringkat umur berbanding HSN yang hanya menyasarkan dua juta orang, tidak sesekali boleh memberikan hak kepada kementerian itu untuk menafikan penggunaan bahasa Melayu.

“Dalam kegawatan suasana di Malaysia sekarang janganlah kerajaan sendiri pula yang menambah kehangatannya. Ketika pergeseran antara kaum sudah semakin tegang, pastinya sangat tidak wajar apabila kerajaan cuba mencabar sensitiviti para nasionalis lagi.

“Nampaknya pentadbiran sekarang yang mahu menggoncang Perlembagaan sedangkan rakyat yang setia, berperit jerih untuk mempertahankannya.

“Sudahlah pentadbiran terdahulu pernah menggunakan nama Fit Malaysia, kini kerajaan sekarang pula mahukan Malaysia Sports Challenge menggantikan Hari Sukan Negara. Kerajaan sendiri yang akan merosakkan negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE