Hakimi yang akan menyambut ulang tahun ke-27 empat hari lagi iaitu pada 8 April nanti, selain bersemangat dan teruja berkata, itu akan menjadi detik istimewa yang akan diingatinya sampai bila-bila terutama setiap kali menyambut hari lahir pada masa akan datang.

“Walaupun hanya tiba di sini lapan jam sebelum berlangsungnya acara pembukaan temasya edisi ke-21 ini, saya tidak anggap itu satu bebanan sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

“Lagi pun saya akan menyambut hari lahir ke-27 Ahad ini dan sudah tentu saya mahu melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik untuk menjadikannya hadiah paling bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Ketika pembawa bendera negara lain tiba lebih awal, Hakimi hanya mendarat di Lapangan Terbang Gold Coast dekat Coolongatta di sini kira-kira 10 pagi ini bersama-sama skuad olahraga negara.

Ditanya kenapa agak lewat datang ke sini sedangkan pembawa bendera negara lain datang lebih awal, Hakimi berkata, dia lebih selesa datang bersama-sama rakan sepasukannya yang lain.

Ini kali pertama Hakimi terpilih menjadi pembawa bendera untuk kontinjen negara dalam mana-mana temasya sukan antarabangsa termasuk Sukan Komanwel.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter itu bagaimanapun hanya akan memulakan aksi memburu pingat dan mencapai sasaran peribadi memecahkan rekodnya sendiri pada 12 April nanti.