Mereka meraih hadiah kemenangan RM1,000 dan Piala Noor Amin Ahmad setelah menewaskan BBM A 2-1 (11-9, 10-11 dan 7-5) dalam perlawanan akhir yang sengit dan mendebarkan di Tapak Pekan Sehari Behor Kayang, Kangar.

Pamoga Langkawi B mempamerkan corak menyerang yang kerap menghasilkan mata terus, malah masih mampu menampung kesilapan dengan pertahanan dan kawalan bola kemas dalam menangkis serangan balas BBM A.

Terdahulu regu pimpinan Samsul Anuar Saad ini menewaskan Kayang B 2-1 dalam separuh akhir, Kulim 2nd 2-1 (suku akhir), Sentua B 2-0 (pusingan ketiga), BBM B 2-0 (pusingan kedua) dan Bomba Kuala Perlis D 2-0 (pusingan pertama).

Selaku naib juara, BBM A membawa pulang RM500 manakala RM250 dan tempat ketiga bersama pula menjadi milik Kayang B dan Kulim 1st.

Kejohanan kali pertama yang berformat kalah singkir ini menyaksikan penyertaan 53 regu kebanyakannya dari sekitar Perlis dan Kedah malah mampu menarik kehadiran empat regu Kelab Sepak Raga Tuju Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Gelaran ini merupakan yang ketiga dalam tahun ini selepas kami menang dua kejohanan tertutup di Langkawi. Satu kemenangan manis dan cukup memuaskan kerana kelab ini baru sahaja ditubuhkan tahun lalu. Terima kasih kepada jurulatih dan penaja kami, Joko dan Anuar.

“Tentangan BBM A memang sengit tetapi tuah tampak berpihak kepada kami apabila ‘killer’ (penyerang) dapat mematikan bola terus dan bola lawan pula dapat ditangkap ‘feeder’ (pengumpan) kami untuk dilancarkan serangan balas,” katanya.

Sepak raga tuju dimainkan tanpa jaring di tengah gelanggang tetapi masih dengan tiga pemain setiap regu yang menentang tiga lawan seperti sepak takraw manakala bola sintetiknya lebih berat, 195 gram.

Setiap pemain sesebuah regu hanya boleh menyentuh bola tiga kali (jumlahnya sembilan kali) dengan sepakan kekura kaki (kuda) digunakan untuk ‘menyerang’ lawan dalam petaknya tetapi tidak boleh melepasi paras lutut. - UTUSAN ONLINE