Begitulah yang Pulau Pinang pamerkan ketika menyapu bersih kedua-dua kategori Kejohanan Floorball Kebangsaan Kelapan, 2019 malah merangkul Piala Merdeka di Space Rubix di sini hari ini.

Namun hanya jalan ke arah kejayaan berganda itu agak berbeza buat pasukan lelaki dan wanita mereka.

Skuad lelaki selesa membenam tuan rumah 6-1 dalam perlawanan akhir sedangkan rakan wanita mereka diheret sehingga penentuan penalti sebelum menjinakkan Putrajaya 4-2 selepas terikat 5-5.

Kapten lelaki Pulau Pinang, Chiam Ter Min yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan, menyumbat dua gol manakala selebihnya dijaringkan Chong Han Keong, Mohd. Fahmi Nasir, Adrian Koay dan Tristan James Desmond Dass.

Tuan rumah hanya beroleh gol sagu hati menerusi Khoo Gim Hoong namun gagal mengulangi kejayaan mengejutkan Pulau Pinang 6-4 seperti saingan Kumpulan A lelaki, Isnin lalu.

Kejohanan anjuran Persatuan Floorball Malaysia (MFA) ini mula diadakan pada 2012.

Perlawanan akhir wanita menyaksikan hatrik Ang Ling Ling dan dua gol Nur Shafinaz buat Pulau Pinang namun disamakan pemain Putrajaya, Nur Dianah Athirah juga dengan hatrik selain satu oleh Arena Abdullah dan Fathih Hasni.

Putrajaya beroleh sedikit hadiah penawar kehampaan apabila pemainnya, Nur Farah Syahirah diumumkan MVP kategori wanita.

Floorball ialah sukan seakan-akan hoki ais dan hoki dewan kerana bentuk kayu dan bolanya selain dimainkan enam pemain setiap pasukan yang berlawanan di gelanggang berukuran 40 x 20 meter.

Uniknya ialah penjaga golnya hampir sepanjang 20 minit setiap satu daripada tiga babak perlu berlutut untuk mengawal gawangnya tanpa kayu sambil dibantu dua pertahanan, dua perantara dan dua penyerang.

Floorball mula dimainkan di Malaysia pada 2002 selepas diperkenalkan oleh Stefan Dahlgren di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Presiden MFA, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, "tahun depan kami mahu tambah dua pasukan baharu dalam Kejohanan Kebangsaan ini bagi mengembangkan sukan floorball Malaysia.

"Satu dua pemain telah dikenal pasti daripada kejohanan ini untuk ditambah dalam skuad negara ke Sukan SEA di Filipina, November ini walaupun kami sudah memiliki 28 pemain.

"Sasaran minimum kami ialah dua pingat gangsa bagi lelaki dan wanita," katanya.

Sudah dua Sukan SEA menyaksikan penyertaan pasukan negara iaitu 2013 di Naypyidaw (sukan pertunjukan) dan Singapura 2015 (sukan pertandingan).

Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara meraih pingat perak di Naypyitaw (tidak dikira dalam kedudukan) manakala hanya sebutir gangsa dibawa pulang dari Singapura kerana kategori wanita cuma disaingi tiga pasukan ketika itu, melarang pingat buat pasukan corot. - UTUSAN ONLINE

KEPUTUSAN KESELURUHAN KEJOHANAN FLOORBALL KEBANGSAAN 2019

Lelaki

1. Pulau Pinang

2. Selangor

3. Kuala Lumpur

4. Johor

5. Sabah

6. Perak

7. Negeri Sembilan

8. Putrajaya

Wanita

1. Pulau Pinang

2. Putrajaya

3. Selangor

4. Kuala Lumpur

5. Sabah

6. Perak

7. Negeri Sembilan

8. Johor