Dalam satu lagi pertarungan ti­tanic, pemain Kanada, Milos Rao­nic menyingkirkan juara 2014, Stan Wawrinka dalam aksi sengit empat set yang kesemua diheret sehingga ke tie break.

Juara Terbuka Amerika Syarikat dan pilihan keempat kejohanan, Osaka menumpaskan wakil Slovenia, Tamara Zidansek 6-2, 6-4 dalam gelanggang yang ditutup bumbungnya di Margaret Court Arena selepas hujan turun mengganggu pertemuan itu.

“Saya fikir saya berjaya mela­kukan servis dengan baik, ini kali pertama saya bermain dengan-nya dan saya gembira memenangi perlawanan ini,” kata Osaka yang bakal menghitung perte­mu­an de­ngan pemain Taiwan, Hsieh Su-wei pada pusingan seterusnya.

Dalam aksi membabitkan pemain lelaki utama Asia, Nishikori dipaksa beraksi selama tiga jam 48 minit sebelum berjaya menewaskan Ivo Karlovic dari Croatia, 6-3, 7-6 (8/6), 5-7, 5-7, 7-6 (10/7) dalam cuaca panas dan lembap.

“Perlawanan ini sangat sukar. Dia hampir menewaskan saya,” kata pilihan kelapan itu yang berjaya ke suku akhir sebanyak tiga kali di Melbourne Park.

Dalam aksi di Rod Laver Arena pula, pilihan ke-16, Raonic menundukkan Wawrinka pemenang tiga kali Grand Slam yang baharu kembali ke gelanggang selepas pulih daripada kecederaan 6-7 (4/7), 7-6 (8/6), 7-6 (13/11), 7-6 (7/5).

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan membabitkan pe­main wanita iaitu pilihan keenam, Elina Svitolina mempamerkan persembahan meyakinkan sebelum mengalahkan Viktoria Kuzmova 6-4, 6-1, manakala Karolina Pliskova bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencipta kemenangan ke atas Madison Brengle 4-6, 6-1, 6-0. – AFP