PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yakin mampu mempamerkan larian terbaik di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025, biarpun bakal ditentang pelari handalan lain.
WUG 2025 yang berlangsung di Jerman bermula 16 hingga 27 Julai ini menyaksikan penuntut Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu beraksi dalam tiga acara iaitu 100 meter (m), 200m serta 4x100m.
Beliau dijangka berdepan cabaran pelari sensasi Thailand, Puripol Boonson serta beberapa atlet yang bersaing dalam kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di AS.
Namun, Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu tetap tenang dan fokus selain menjadikan cabaran tersebut sebagai pembakar semangat untuk dia menampilkan larian terbaik pada temasya dwitahunan berkenaan.
“Ini adalah kejohanan bertaraf dunia dan bukan calang-calang atlet yang datang tetapi saya tahu siapa saya dan kemampuan diri. Kalau ikut perancangan sendiri dan tidak fikir orang lain, Insya-Allah saya boleh buat yang terbaik.
“Sasaran saya di sana nanti adalah untuk cuba memecahkan catatan terbaik musim ini (10.20 saat), melayakkan diri ke pusingan akhir dan cuba untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, dia yang sudah menjalani latihan selama tiga minggu di Malaysia mengakui sudah mula menyesuaikan diri tetapi mengubah sedikit jadual latihan bagi memastikan cuaca panas tidak menjejaskan prestasi.
Jelas Azeem lagi, dia juga mahu mengekalkan sistem latihan yang diamalkan di Amerika Syarikat kerana menganggap konsistensi akan menjadi penentu bagi menghadapi aksi kompetitif seperti WUG.
“Di sana (Amerika Syarikat), kebiasaannya saya berlatih pada waktu tengah hari. Sekarang saya memulakan sesi sekitar pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sudah mula serasi selain tidak ada sebarang masalah,” ujarnya.- UTUSAN