Pemenang pingat emas Kejuaraan Silat Remaja Dunia 2015 itu yang akan beraksi dalam kelas Puteri B (50-55 kg), optimis mampu memberikan saingan sengit kepada pesilat negara lain yang turut mengintai peluang meraih pingat pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“Saya jangkakan negara seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand bakal memberikan saingan kepada saya kerana mereka merupakan antara pencabar Malaysia dalam sukan silat di rantau ini.

“Saya harap emas yang diperoleh pada Kejuaraan Silat Kebangsaan di Pahang, Mac lepas akan menjadi pembakar semangat untuk saya meraih pingat pada Sukan SEA nanti,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Khaiza, 20, memaklumkan skuad silat negara akan menjalani latihan di Rompin, Pahang pada minggu depan, sebelum bertolak ke Pattaya, Thailand pertengahan Julai untuk meneruskan latihan intensif selama dua minggu sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2019.

Untuk rekod, Filipina bakal mempertandingkan sembilan acara silat pada Sukan SEA 2019 nanti. - BERNAMA