Sudah tentu tidak tetapi itulah idea yang dilontarkan kepada Nishikori tentang kemungkinan mereka akan berganding pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti yang dianggap prospek terbaik untuk meraih emas.

Bagaimanapun Nishikori yang mengesahkan akan bermain dalam acara perseorangan dan beregu lelaki melahirkan kebimbangan dan menganggap agak keterlaluan jika ditambah satu lagi acara tersebut untuknya dalam keadaan cuaca yang panas ketika itu.

“Bayangkan dalam cuaca panas terik dan kering, saya bermain satu acara perseorangan dan dua beregu. Entahlah saya mampu atau tidak. Saya tidak boleh fikir tentang itu sekarang.

“Saya sendiri tidak tahu. Saya akan berbincang dengan Naomi nanti,” katanya menjelang aksi pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) di sini di mana dia sedang sibuk melakukan persiapan.

Osaka yang merupakan pemain No. 1 dunia ketika ini tidak pernah dilihat bermain dalam acara beregu campuran dengan mana-mana pemain setakat ini dan jika gandingannya dengan Nishikori, 29, yang menghuni ranking ketujuh dunia menjadi kenyataan, ia satu sejarah buat Jepun dan pemain berusia 21 tahun itu.

Osaka kini sedang dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka AS di sini kali ini selepas menewaskan Serena Williams di final yang penuh kontroversi pada tahun lalu. - AFP