Dalam kejohanan yang pernah dimenangi Nicol sebanyak lima kali itu, dia tewas pada pusingan kedua kepada pemain No. 3 dunia, Nour El Tayeb dari Mesir 4-11, 7-11, 13-11, 5-11.

Biarpun menutup buku dengan cerita kurang menggembirakan namun kejayaan pernah diraih Nicol sejak bergelar pemain profesional pada 2000 akan terus menjadi satu memori manis buat sukan Malaysia malah dia juga masih kekal sebagai satu-satunya pemain wanita Asia Tenggara pernah memenangi Terbuka Britain.

“Saya hampir tidak percaya ia sudah hampir dua dekad dalam skuasy.

“Bagi saya pada 2005 adalah tahun paling menakjubkan buat saya apabila memenangi gelaran Terbuka Dunia buat kali pertama menewaskan Rachael Grinham dan selepas itu keyakinan saya semakin tinggi untuk menjadi yang terbaik hingga membolehkan saya bergelar pemain No.1 dunia,” katanya.

Sejak bergelar pemain profesional Nicol telah meraih 81 gelaran bermula Terbuka ­Savcor Finnish pada 28 Februari 2000 dan kejuaraan terakhirnya ialah dalam kejohanan Ciudad de Floridablanca pada 11 Mac 2017.

Pakar dalam subjek matematik ketika zaman persekolahan itu juga pernah dinobat sebagai Olahragawati Anugerah Sukan Negara 10 kali, malah sumbangannya terhadap negara juga tidak terhingga.

Bintang Malaysia itu merupakan orang kuat di sebalik usaha membawa masuk skuasy dalam senarai pendek acara Sukan Olimpik menerusi kempennya pada 2013.

Bagaimanapun, usaha Nicol itu tidak mendapat perhatian serius Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) biarpun beberapa jaguh sukan-sukan lain termasuk Roger Federer dalam sukan tenis memberikan soko­ngan kepada skuasy untuk dimasukkan sebagai acara dalam Sukan Olimpik 2020.

Sementara itu, El Tayeb me­ngakui dia tidak seronok dengan keputusan itu biarpun meraih kemenangan kerana turut bersedih dengan pilihan Nicol bersara daripada sukan berkenaan.

“Menentang Nicol David sentiasa berlangsung sengit dalam mana-mana kejohanan.

“Nicol juga sering membantu saya mencapai tahap terbaik beberapa bulan lalu malah saya amat benci jika meraih kemenangan ke atasnya menerusi cara begini.

“Kini saya memandang ke hadapan dalam masa sama segala nasihat yang telah diberikan oleh Nicol kepada saya akan diingati selamanya,” kata El Tayeb sejurus tamat perlawanan.