NICOL DAVID
NICOL DAVID

Nicol, 34, kini menduduki ranking keenam dunia, Sukan Komanwel kali ini merupakan penyertaan keenam baginya tetapi buat kali pertama sejak Manchester 2002, Nicol bukan pemain pilihan utama kejohanan itu.

“Bagi saya sebagai pemain pilihan ketiga tiada apa membimbangkan saya. Saya mahu mempamerkan aksi bertenaga pada awal perlawanan dan lihat sejauh mana boleh bertahan.

“Ia adalah bonus bagi saya berpeluang menyertai sukan ini. Dan dapat mewakili Malaysia, saya akan berusaha tonjol yang terbaik. Saya mahu beraksi dengan tenang dan hasilnya pasti positif,” katanya kepada ketika ditemui selepas sesi latihan atlet Malaysia di Oxenford Studios.

Nicol yang dibimbing jurulatih dari Australia, Liz Irving, berpeluang beraksi di gelanggang kaca tempat berlangsungnya acara itu, beberapa minggu lepas.

“Saya telah berada di sini selama dua minggu. Saya mahu sesuaikan diri dengan gelanggang kaca ini dan gelanggang sebelah, jadi saya dapat beraksi dengan baik pada awal perlawanan,” katanya.

Selain Nicol, atlet wanita Malaysia yang menyertai acara perseorangan adalah pemain No. 2 negara, S. Sivasangari dan Aifa Azman.

Acara perseorangan wanita bermula di Oxenford Studios pada Khamis ini.