Pada usia 34 tahun, Nicol terpaksa akur kepada tenaga pemain yang lebih muda daripadanya dari New Zealand, Joelle King yang menang 13-11, 11-5, 1-11, 11-5 dalam masa 39 minit.

Walaupun pada set pertama, Nicol sepatutnya boleh menang selepas berada di mata penamat ketika kedudukan 11-10 namun King, 29, bangkit untuk memungut tiga mata berturut-turut sekali gus merencatkan semangat pemain negara kelahiran Pulau Pinang itu.

Selepas itu, King hanya mengawal permainan dengan baik ketika Nicol semakin tertekan untuk mencari mata. Selepas menang set kedua, King membiarkan sahaja Nicol menang mudah 11-1 di set ketiga sebelum kembali mengasak dengan permainan agresif untuk menang 11-5.

Dengan kekalahan Nicol itu bermakna dia hanya akan beraksi untuk perebutan pingat gangsa menentang pemain Wales, Tesni Evans manakala King akan menentang pemain England, Sarah Jane Perry untuk perebutan pingat emas.

Nicol merupakan penyumbang pingat emas tetap kontinjen negara menerusi acara perseorangan dalam dua temasya sebelum ini iaitu di New Delhi pada 2010 dan Glasgow pada 2014. Pada 2006 di Manchester, dia kalah kepada Sally Kitchen untuk penentuan pingat gangsa.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Nafiizwan Adnan turut menerima nasib sama apabila terkandas di separuh akhir hari ini selepas tewas 6-11, 10-12, 11-4 di tangan pemain England, James Wiilstrop.

Selepas mengejutkan pilihan pertama, Nick Matthew juga dari England di suku akhir semalam, pemain kelahiran Terengganu berusia 31 tahun itu gagal mengulangi kecemerlangannya apabila tunduk mudah kepada pilihan keempat temasya.

“Sebenarnya saya sungguh kecewa tidak dapat menyumbang pingat emas atau perak kepada negara tetapi ini belum berakhir. Esok masih ada. Saya akan gunakan peluang terakhir itu untuk memberikan gangsa kepada negara,” katanya yang masih bersemangat.

Bagi penentuan pingat gangsa esok, Nafiizwan akan berdepan pemain dari Wales, Joel Makin.