Nicol yang merupakan juara lima kali Terbuka Britain mengambil masa hanya 32 minit untuk menewaskan Ho Tze-Lok dari Hong Kong 11-7, 11-5, 13-11 dalam pusingan pertama di Pusat Sukan dan Kecergasan Universiti Hull.

Pemain berumur 35 tahun dari Pulau Pinang yang akan bersara selepas kejohanan itu berkata, beliau amat gembira dengan kejayaan hari ini.

"Saya gembira dapat turun gelanggang dengan Terbuka Britain ini menjadi kejohanan terakhir saya, ia memang amat istimewa sekali, saya akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik, menjadikan ia sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan," katanya yang dipetik dari laman web kejohanan, www.britishopensquash.info.

Dalam pusingan kedua menentang pemain No. 3 dunia, Nour El Tayeb hari ini, Nicol berkata, beliau akan melakukan yang terbaik walaupun gagal menewaskan pemain dari Mesir itu dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Tiada apa yang nak dibimbangkan, jadi saya hanya akan turun gelanggang dan menikmati sepenuhnya permainan nanti," katanya.

Mengiringi Nicol ke pusingan kedua ialah bekas pemain No. 5 dunia, Low Wee Wern yang menewaskan Fiona Moverley dari England 11-6, 11-3, 11-6.

Dalam saingan lelaki, kempen Malaysia berakhir selepas dua pemain negara tewas dalam perlawanan masing-masing.

Bekas juara ramaja dunia, Ng Eain Yow tewas 8-11, 10-12, 7-11 kepada Patrick Rooney dari England, manakala Ivan Yuen gagal melepasi Greg Lobban dari Scotland 10-12, 9-11, 12-10, 4-11. - BERNAMA