Juara Sukan SEA tiga kali berturut-turut itu yang bersaing dalam saringan Kumpulan B hampir tidak dapat meneruskan kemaraan selepas dua percubaannya pada ketinggian 2.21 meter gagal sebelum melegakan kem negara menerusi percubaan ketiga.

Peraturan menetapkan had kelayakan ke pusingan akhir adalah 2.27m atau sekurang-kurangnya berada dalam kalangan 12 peserta terbaik di peringkat saringan dan kejayaan Nauraj melepasi ketinggian 2.21m sudah cukup untuk meletakkannya di kedudukan keenam.

Nauraj sekali lagi cemas apabila dia hanya menduduki tempat ke-13 keseluruhan selepas tamat kedua-dua saringan namun pihak teknikal kemudian bersetuju menambah satu lagi slot ke pusingan akhir berdasarkan jumlah peserta yang melepasi ketinggian 2.21m.

Semua peserta yang mara ke pusingan akhir Rabu ini, termasuk seorang lagi peserta negara, Hup Wei layak setelah menduduki tempat keempat dalam saringan Kumpulan B berbekalkan ketinggian berkenaan.

“Semuanya berjalan seperti yang dirancang dan saya gembira mara ke final. Langkah seterusnya adalah untuk pulih kerana saya tertekan sewaktu melakukan dua percubaan pertama. Tetapi saya lega kerana dapat menanganinya dengan baik,” jelasnya.

Sementara itu, Hup Wei membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya selepas mara ke final dengan menduduki tempat kelapan keseluruhan dalam pusingan kelayakan.

Dia sebelum ini tidak terpilih untuk menganggotai kontinjen negara ke sini namun dimasukkan kemudian selepas penilaian semula dilakukan atas desakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Hup Wei yang memiliki catatan peribadi terbaik 2.27m juga gagal dalam lompatan pertama namun segera mengumpul semangat untuk melepasi ketinggian yang diperlukan menerusi percubaan kedua.

“Saya terlalu memaksa untuk melakukan yang terbaik yang membuatkan saya menekan diri sendiri. Untuk final nanti saya akan membuat persediaan termasuk memperkuatkan mental dengan lebih baik,” tambahnya.

meter

Had kelayakan ke pusingan akhir adalah 2.27m atau berada dalam kalangan 12 peserta terbaik