Dalam perlawanan akhir tersebut Nadal menewaskan pemain Rusia, Daniil Medvedev 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4 untuk gelaran Grand Slam ke-19.

Kemenangan kali ini dirai dengan penuh emosi oleh jaguh Sepanyol itu, terutama apabila penganjur memainkan video di Stadium Arthur Ashe yang memaparkan setiap gelaran Grand Slam dimenanginya sebaik sahaja tamat perlawanan.

“Ia adalah perlawanan akhir yang menakjubkan tambahan pula ketika ini saya berdepan aksi turun dan naik tetapi secara jujurnya, perkataan pertama yang saya ucapkan kepada Daniil adalah tahniah.

“Kemenangan ini begitu bermakna kerana pertarungan sangat getir tetapi saya mampu memananginya.

“Beraksi dalam tempoh yang panjang dan mencabar adalah sesuatu yang gila malah ia membuatkan saya sangat beremosi,” katanya.

Tiga kejuaraan Nadal, 33, dalam Terbuka AS sebelum ini hadir pada 2017, 2013 dan 2010. - AGENSI