Penjenamaan semula program tersebut diumumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim ketika sesi taklimat kepada penaja berpotensi untuk MySC 2019 di sini hari ini.

“Ini hanya penjenamaan semula dan tiada kaitan dengan tujuan lain kerana penganjurnya adalah sama iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Cuma bezanya ialah jika Hari Sukan Negara sebelum ini disambut sehari sahaja tetapi MySC disambut selama sebulan iaitu sepanjang Oktober ini dengan lebih banyak dan pelbagai aktiviti telah diatur.

“Selain itu jika Hari Sukan Negara melibatkan sasaran 2 juta orang, MySC mensasarkan 5 juta melibatkan semua peringkat umur, golongan, gender dan kepelbagaian program,” katanya.

Tambahnya, kemuncak kepada MySC 2019 pula bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini pada 12 Oktober. - UTUSAN ONLINE