Atlet berusia 24 tahun itu menjadi penyumbang pingat emas pertama negara apabila menjuarai acara angkat berat bagi kelas 56 kilogram selain memperbaharui rekod temasya milik idolanya Amirul Hamizan Ibrahim yang kini merupakan pengurus pasukan angkat berat negara.

Muhammad Azroy bakal menerima ‘durian runtuh’ menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM90,000 termasuk RM80,000 sebagai pemenang pingat emas kategori A2 dengan tambahan RM10,000 atas kejayaan memecahkan rekod temasya.

Atlet kelahiran Kuala Rompin itu juga akan menerima habuan tambahan sebanyak RM10,000 daripada Majlis Sukan Pahang selain kerajaan negeri mempertimbangkan insentif berbentuk lot tanah dan wang tunai.

Dia menzahirkan kesyukurannya terhadap ganjaran yang bakal diterima itu selain menyuarakan hasrat untuk menghantar ibu bapanya ke tanah suci sebelum dia berangkat ke Gold Coast selain mahu berkongsi kegembiraan itu bersama anak-anak yatim serta pelajar tahfiz di sekitar Rompin.

“Saya mahu menghantar ibu bapa saya mengerjakan umrah selain mengubah suai rumah keluarga saya. Selain itu saya juga bernazar sebelum ke Gold Coast untuk memberikan sumbangan kepada rumah anak yatim dan sekolah-sekolah tahfiz di sekitar Rompin.

“Saya mahu menggembirakan keluarga saya kerana raya sudah dekat. Senang cerita tahun ini saya akan ‘beraya sakan’,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Azroy menegaskan bahawa dia enggan hanyut dibuai kejayaan itu sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persiapan menjelang Sukan Asia di Jakarta, Ogos ini dengan fokus utama kepada pemulihan kecederaan yang sedang dialaminya.

“Saya mahu pulihkan kecederaan otot di bahagian lutut kanan yang dialami semasa beraksi di Gold Coast kerana dalam sukan ini, saya perlu terus menjalani latihan dan tidak boleh terlalu lama berehat bagi mengekalkan momentum,” katanya.