Menurut syarikat yang mengendalikan kes muflis bekas pemenang enam Grand Slam berusia 51 tahun itu, kira-kira 687,000 pound dapat dikumpulkan menerusi lelongan atas talian itu.

Bagaimanapun jumlah itu jauh lebih rendah berbanding hutang keseluruhan berjumlah 50 juta pound yang sedang ditanggung Becker.

Antara yang berjaya dilelong dan mendapat harga tinggi adalah trofi Terbuka Amerika Syarikat (AS) 1989 yang mana Becker menewaskan Ivan Lendl pada aksi final. Ia dilelong pada harga 150,250 pound.

Berikutan permintaan tinggi terhadap trofi tersebut menyaksikan tempoh lelongan yang telah tamat terpaksa dilanjutkan beberapa jam lagi kerana tiba-tiba menerima bidaan di saat-saat akhir.

Menurut wakil syarikat lelongan terbabit, Terry Madden, ada pembida yang berminat termasuk mereka yang datang menyaksikan Wimbledon ketika ini.

Secara keseluruhan, dianggarkan kira-kira 495 pembida daripada 32 negara berbeza berminat untuk mendapatkan trofi, foto dan beberapa barangan bersejarah milik Becker termasuk dua trofi Terbuka Australia dan beberapa trofi daripada tiga kejayaannya di Wimbledon yang masih hilang. - AFP