AFFIZAM AMDAN (kanan) mencadangkan MSN mengambil alih latihan tiga atlet para Perlis yang memenangi pingat pada Grand Prix Atlet Para 2019 di Beijing, China, baru-baru ini.

Jurulatih olahraga atlet orang kurang upaya (OKU) Perlis, Affizam Amdan berkata, MSN harus memberi peluang kepada semua atlet tersebut supaya bakat mereka terus dapat diasah seperti atlet OKU kebangsaan, Mohamad Ridzuan Puzi yang ditanggung sepenuhnya oleh MSN.

"Kejayaan atlet Perlis ini adalah hasil bantuan orang ramai termasuk Baitulmal yang memberi sumbangan kewangan yang membolehkan mereka menyertai kejohanan di Beijing," kata Affizam kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya kejohanan itu menjadi akreditasi dan klasifikasi yang mengesahkan jenis kecacatan atlet OKU yang melayakkan mereka menyertai acara mengikut jenis kecacatan pada kejohanan-kejohanan lain termasuk Sukan Para Asia di Manila, Filipina 2020.

Mahfuz Mahzan yang bertanding dalam acara trek kategori T36 pada kejohanan itu merangkul dua emas bagi acara 800 meter dan 1,500 meter serta satu perak dalam acara 400 meter, manakala, Mohd Erwan Mohd Hasnoor memenangi pingat emas untuk kategori T37 - lompat jauh.

Muhammad Alif Malek (pemegang pingat gangsa Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017) yang menyertai acara trek kategori T37 merangkul dua pingat gangsa dalam acara 100 meter dan 200 meter. Seorang lagi atlet Perlis, Mira Nirwani Mohamad yang menyertai acara padang kategori T38 (lempar cakera, lontar peluru dan merejam lembing) menduduki tempat keempat. - BERNAMA