Selain mahu memastikan Malaysia dapat menghantar seramai mungkin atlet secara merit ke temasya Tokyo (24 Julai hingga 9 Ogos 2020), cabaran terbesar MSN juga adalah menamatkan penantian melihat juara Olimpik pertama Malaysia berjaya dilahirkan.

Dalam temubual bersama Pengarang Sukan Utusan Malaysia, NORZIE MOHD. KHASBI dan wartawan ZAZALI JAMIAN, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan secara terperinci mengenai perancangan besar sepanjang 2019, terutama Program Podium yang berwajah baharu.

Apakah yang boleh disimpulkan tentang pencapaian sukan negara sepanjang 2018 - berjaya, sederhana atau gagal.

Ahmad Shapawi: Secara keseluruhan prestasi sukan Malaysia pada 2018 boleh dianggap membanggakan.

Pandangan ini mungkin boleh dipertikai jika kita lihat bola sepak yang tidak meraih kejayaan, terutama pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia Bawah 17.

Dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang berada di bawah Program Podium, memang kita tidak capai sasaran 10 terbaik, namun kita mengatasi pencapaian lepas biarpun ada yang mengatakan ia gagal.

Kejayaan Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2018 juga tidak boleh diketepikan kerana ia telah menyemarakkan semangat rakyat Malaysia.

Antara kejayaan yang patut diketengahkan ialah kemunculan juara-juara dunia seperti Rafiq Ismail dan beregu lelaki dalam boling, selain Syarul Azman Mahen Abdullah serta Lilian Tan (bina badan) manakala Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Hazim Amzad di medan silat.

Tahun 2019 adalah waktu kritikal buat sukan negara kerana ia tempoh terakhir yang akan menentukan berjaya atau gagalnya Malaysia dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Apa perancangan MSN, terutama selepas mengambil alih Program Podium daripada ISN (Institut Sukan Negara).

Ahmad Shapawi: Program Podium tidak dibubarkan tetapi ditambah baik oleh MSN dengan bantuan ISN, bermakna dua agensi bergabung bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh utama iaitu persatuan sukan kebangsaan, atlet dan jurulatih.

Kita buat penstrukturan semula untuk menggerakkan program itu dengan lebih baik dan matlamat utamanya tetap sama iaitu mencari pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Tahun 2019 amat mencabar kerana penuh dengan pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020. Ketika ini dua atlet pelayaran sudah mengesahkan tiket manakala dalam sukan lain kita sudah mengenal pasti beberapa atlet yang menjadi prospek pingat.

Jadi, Program Podium selain fokus kepada sukan sasaran, ia turut memberi tumpuan kepada atlet secara individu. Kita mungkin buat ‘Road to Tokyo’.

Persatuan yang terlibat dengan Sukan Olimpik akan diberi bantuan penuh manakala sukan yang tidak dipertandingkan di Tokyo akan dibantu untuk menghadapi Sukan Asia dan Komanwel 2022.

Melihat kepada pencapaian 2018 dan keupayaan semasa atlet negara, apakah realitinya misi memburu emas Olimpik pertama boleh direalisasikan di Tokyo 2020?

Ahmad Shapawi: Kita mengharapkan lebih banyak sukan dan atlet akan layak ke Olimpik 2020, namun sasaran utama untuk memenangi pingat tetap terjun, berbasikal serta badminton.

Kalau melihat prestasi semasa, karate (sukan baharu Olimpik) tidak lagi popular, malah mereka perlu melepasi kelayakan untuk membuktikan kemampuan, namun sudah tentu peluang (meraih pingat) tetap ada.

Selain persiapan menuju Olimpik 2020 menjadi fokus utama, apakah Sukan SEA 2019 di Manila masih menjadi keutamaan MSN atau kita boleh fokus kepada menghantar atlet muda dalam sukan yang mana Malaysia sudah berada dalam kelas dunia seperti hoki, berbasikal, terjun dan badminton.

Ahmad Shapawi: Dalam misi Sukan Olimpik 2020, Sukan SEA 2019 juga tidak boleh diketepikan dengan tumpuan diberikan kepada sukan-sukan yang mempunyai peluang mendapatkan pingat.

Bagi Sukan SEA 2019, saya akui sukar untuk mengekalkan kecemerlangan 2017 kerana tuan rumah selaku penganjur tidak menyenaraikan sukan-sukan yang memihak kepada kita.

Berdasarkan senarai awal sukan dan acara yang dipertandingkan, kita jangka hanya mampu meraih 12 hingga 15 peratus emas daripada 529 yang ditawarkan.

Apakah harapan MSN kepada persatuan-persatuan sukan kebangsaan dalam mengatur program dan mencari dana untuk keperluan atlet mereka.

Ahmad Shapawi: Persatuan Badminton Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia antara yang wajar dicontohi kerana mereka mempunyai pendapatan serta kewangan yang amat stabil.

Persatuan sukan seharusnya bijak menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung harap kepada kerajaan.