Untuk rekod, kanu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2017, namun, skuad TBR lelaki negara menunjukkan kemajuan mendadak apabila mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018 dalam kategori 12 pendayung.

“Masca masih menilai sama ada untuk turut menghantar skuad TBR ke Sukan SEA kerana perlu meneliti kos penyertaannya secara terperinci memandangkan jumlah atletnya lebih besar.

“Setakat ini hanya seorang atlet daripada Masca menyertai Sukan SEA iaitu bagi acara kanu pecut. Bagi TBR, kami memang berminat, namun, disebabkan kosnya yang tinggi, mungkin kena cari penajaan dulu,” kata Presiden Masca, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

Shahriman yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) turut mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Kumpulan Utusan, di sini untuk menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000.

Sumbangan berkenaan bertujuan membiayai pembelian pukal Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 5,000 naskhah, selain menyokong Kempen Jom Beli Jom Iklan kedua-dua akhbar harian terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang dilancarkan sejak Rabu lalu.

Tambahnya, Masca juga telah berhubung dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan meminta kelonggaran untuk menyerahkan senarai atlet kanu dan mungkin TBR sebelum 2 September ini.

MOM, bulan ini menetapkan antara 15 Ogos hingga 2 September sebagai tarikh penghantaran senarai nama atlet negara oleh persatuan sukan kebangsaan ke Sukan SEA seperti yang dikehendaki Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (Phisgoc). - UTUSAN ONLINE