Buat pertama kalinya, MSDeaf merasakan 2019 sebagai tahun `gelap dan kelam’ kerana acara sukan yang selama ini menjadi ikatan dalam hubungan sesama mereka, terpaksa dibatalkan melibatkan acara dalam dan luar negara. Antara acara sukan tersebut termasuk bola sepak, olahraga, futsal, badminton, boling dan karate.

ONG SHIN RUENN
ONG SHIN RUENN

Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn ketika mendedahkan perkara itu bukan sahaja melahirkan rasa kecewa, malah berkata, sehingga kini tiada pihak berminat untuk memberi dana kepada persatuan bagi membolehkan ahli-ahlinya menyertai acara-acara sukan berkenaan.

“Walaupun, MSDeaf telah berusaha dan menghantar permohonan termasuk kepada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan serta Majlis Sukan Negara, nampaknya tiada yang berminat. Bagi tahun 2019, MSDeaf memerlukan kira-kira RM3.9 juta untuk semua penganjuran sukan termasuk kem latihan bagi melahirkan bakat-bakat baharu dalam kalangan orang pekak.

“Tahun lalu kami dapat dana RM2 juta dan berjaya menjimatkan peruntukan berkenaan untuk diserapkan dalam program sukan pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, setiap kali anjuran sukan orang pekak, peserta akan tinggal di homestay atau asrama sebagai penjimatan.

Menurutnya, jika ketiadaan peruntukan, MSDeaf terpaksa membatalkan penyertaan atlet ke kejohanan olahraga dunia untuk orang pekak di Estonia (Mac), bola sepak ASEAN di Jakarta (September) dan beberapa acara lagi.