Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas mengiringi lawatan Putera Edward ke Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil hari ini.

Kata Syed Saddiq, dua temasya sukan besar itu bakal menjadi agenda utama pihak­nya selepas ini jika kerajaan pusat meluluskan bidaan untuk menjadi tuan rumah.

“Tetapi kita masih perlu buat kajian menyeluruh sebelum perkara ini (anjur Sukan Komanwel) dibawa ke Kabinet.

“Pada masa sama kita juga sedang memperhalusi untuk menganjurkan Sukan Asia 2030, jadi dua temasya selang empat tahun.

“Memandangkan kos pe­ngan­jurannya yang tinggi, itu sebabnya kajian perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kajian bukan sahaja dari segi kos malah mengambil kira sama ada ia mampu mendatangkan keuntungan atau tidak.

“Kita dimaklumkan kos menganjurkan Sukan Komanwel sahaja dalam 30 juta pound (RM154.40 juta).

“Jadi pada masa sama kita hendak kena pastikan juga negara atau negeri yang anjurkannya nanti bukan sahaja mendapat keuntungan tetapi juga memberi impak besar kepada kita,” katanya.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998 tetapi belum pernah menganjurkan Sukan Asia yang lebih besar komposisinya.

Kuala Lumpur bagaimanapun pernah membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006, namun tewas kepada Doha.

Terdahulu, Syed Saddiq me­ngiringi Putera Edward melawat KLSC dan melihat persediaan atlet Malaysia dalam menghadapi kejohanan masing-masing. - UTUSAN ONLINE