Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa IPC sewajarnya sedar dengan keganasan yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin seperti dilaporkan oleh Amnesty International dan Watch Human Rights.

“Sekiranya menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa lebih penting daripada berdiri untuk saudara-saudara Palestin kita yang dibunuh, dicederakan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah benar-benar kehilangan arah moralnya.

“Sebagai pemimpin Israel, beliau mewakili kehendak kolektif kerajaan Israel. Negara Israel adalah tempat tindakan moral kolektif mereka.

“Malaysia tegas dengan keputusan kami atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan bagi nasib Palestin. Kami tidak akan berkompromi,” kata Syed Saddiq.

Hari ini IPC telah membuat keputusan mengejut apabila membatalkan hak Malaysia selaku penganjur kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga IPC di London selepas mendapati Malaysia gagal membenarkan penyertaan atlet dari negara Israel untuk menyertai kejohanan yang menjadi medan kelayakan buat Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo. - UTUSAN ONLINE