Kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, dari segi kemampuan, Kuala Lumpur mempunyai keupayaan untuk menganjurkan temasya berkenaan.

"Kami boleh membantu mereka dan mengemukakan satu bidaan yang baik.

"Sementelah lagi Persekutuan Sukan Komanwel dalam usaha mengelakkan proses bidaan langsung yang melibatkan kos yang sangat tinggi. Mereka mahu secara rundingan dan pada masa sama menimbang kelayakan hos-hos berpotensi," katanya pada sidang akhbar mengenai pencapaian kontinjen Malaysia, di sini hari ini.

Tunku Imran berkata dari segi komuniti sukan tempatan, Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

"Durban menarik diri daripada penganjuran edisi 2022 selepas mereka gagal menepati tarikh akhir pembiayaan. Justeru, ini bukan persoalan sama ada kita berkemampuan atau tidak untuk menganjurkannya tetapi sama ada kita mahu atau tidak untuk menjadi tuan rumah sekali lagi," katanya.

Kuala Lumpur merupakan tuan rumah Sukan Komanwel 1998. - BERNAMA