Tiga kata motivasi ini disuarakan ketua pasukan negara, Mohd. Syahir Asraf Rosli buat dirinya dan rakan sepasukan menjelang perlawanan kedua Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2016 di Kelab Selangor Diraja, Bukit Kiara, esok.

Tiada gunanya untuk meratapi kekalahan 15-10 semalam yang turut dipengaruhi sedikit nasib walaupun peluang seakan-akan sudah tergenggam kerana baginya, “yang penting kami belajar daripada kesilapan itu dan cuba untuk tidak mengulanginya.

“Kami mahu mengambilnya secara positif ke arah menghadapi dua lagi perlawanan (termasuk Singapura, Sabtu ini). Maruah negara apatah lagi sebagai tuan rumah ARC masih perlu dipertahankan,” katanya yang turut digelar Saho kepada Utusan Malaysia hari ini.

Skuad negara terlepas peluang untuk meraih empat mata biarpun mendahului Filipina 3-0 dan 10-5 semalam, sekali gus hanya berpuas hati dengan satu mata bonus kerana cuma kalah di bawah tujuh mata, menurut peraturan pertandingan.

Setiap kemenangan menjanjikan empat mata, seri dua mata, menang dengan lebih empat try atau kalah dengan tujuh mata ke bawah, akan mendapat satu mata bonus.

Malaysia kini di tangga ketiga Divisyen 1 ARC, di belakang Sri Lanka (lima mata) dan Filipina (empat) manakala Singapura tanpa mata dengan pasukan corot selepas tiga perlawanan liga sepusingan, Sabtu ini, bakal diturunkan ke Divisyen 2, tahun depan.

Kekalahan anak-anak buah Lee Nyuk Fah yang menduduki ranking ke-58 dunia, turut meleburkan rekod tanpa kalah mereka sejak 2014 namun peluang untuk mengotakan sasaran kekal dalam Divisyen 1 ARC masih terbuka.

Namun Sri Lanka yang di ranking ke-38, dianggap jauh lebih handal daripada Filipina (54) malah menjadi pilihan utama untuk menjuarai divisyen ini sekali gus bakal dinaikkan kembali ke Divisyen Perdana 2017.

“Kami menyedari kehebatan Sri Lanka dan telah mendapat gambaran awal lawan apabila mereka menewaskan Singapura 33-17 semalam. Ramai pemain mereka berkemahiran tinggi secara individu.

“Namun kami percaya ada strategi tertentu yang mampu digunakan pasukan negara untuk mengekang mereka. Mungkin kami perlu banyak menguasai bola dan kerap menyerang,” kata Saho, 28, pemain fly half.