Dalam aksi final di Pusat Akuatik Optus itu, Pandelela-Jun Hoong memungut mata secara konsisten sepanjang lima terjunan untuk mengumpul 328.08 mata, jauh meninggalkan penerjun Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay (312.12 mata) di kedudukan perak dan rakan sepasukan, Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri (308.16 mata), gangsa.

“Dengan Jun Hoong, ini emas kami bersama yang pertama di Sukan Komanwel. Sebelum ini saya hanya pernah menang perak dengan Mun Yee pada temasya 2010 dan gangsa bersama Dhabitah pada 2014.

“Jadi ia cukup istimewa buat saya dan Jun Hoong kerana kami juga berjaya menamatkan kemarau lima hari emas kontinjen negara. Harap kami dapat menyumbang emas lagi selepas ini,” kata Pandelela selepas berakhir saingan.

Pada 2010 juga, Pandelela turut menyumbang emas acara 10 meter platform individu ini manakala pada 2014, dia hanya menang perak secara individu.

Bagi Mun Yee- Dhabitah, gangsa dalam acara 10m platform seirama hari ini adalah yang kedua disumbangkan mereka dalam sehari. Pada saingan 3m papan anjal seirama di sebelah pagi, mereka juga menang gangsa.

Sementara itu, tiga penerjun lelaki negara yang turut beraksi hari ini dalam acara 1m papan anjal individu gagal menyumbang sebarang pingat.

Muhammad Syafiq Puteh muncul terbaik apabila menduduki tempat kelima, diikuti Ahmad Amsyar Azman di tempat keenam dan Ooi Tze Liang di tempat ke-11. Acara ini dimenangi penerjun England, Jack Laugher.

Dengan kejayaan Pandelela-Jun Hoong itu, kedudukan pingat emas kontinjen negara akhirnya berubah hari ini dengan menokok kepada tiga emas selepas kali terakhir meraihnya pada 5 April lalu.

Dua emas pertama negara itu disumbang menerusi sukan angkat berat selepas Mohd. Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad menjuarai kategori 56kg lelaki dan Muhamad Aznil Bidin yang menjuarai kategori 62kg.

Esok, Pandelela dan Jun Hoong akan turun sekali lagi, kali ini mereka akan beraksi secara berasingan dalam acara 10 meter platform wanita. Turut beraksi seorang lagi penerjun negara,Kimberly Bong.

Tze Liang pula akan turun dalam acara 3m papan anjal lelaki untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lalu di Glasgow, Scotland. Turut beraksi adalah Chew Yiwei dan Ahmad Amsyar.