Ketua Kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, angka itu berdasarkan senarai awal yang didaftarkan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN), namun, jumlah sebenar hanya dapat dimuktamadkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dari Isnin hingga Rabu ini.

“Angka itu mungkin mengatasi 1,114 orang (820 atlet dan 294 pegawai) Malaysia ke Sukan SEA Korat 2007, manakala yang terbesar ialah ketika kita menjadi tuan rumah 2017 dengan 845 atlet dan 390 pegawai (1,235 orang).

“Sekalipun bakal berkurangan selepas mesyuarat itu, kemungkinan kita mengatasi angka di Korat masih besar kerana lebih banyak yang dipertandingkan kali ini dengan kita menyertai 51 jenis sukan di Filipina,” katanya selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma MOM di sini, hari ini.

Mengenai ramalan atau sasaran awal pingat emas negara katanya, semua pengurus pasukan dan persatuan sukan kebangsaan yang terlibat telah diberitahu bahawa Malaysia akan hadir di sana sebagai juara bertahan.

“Kita membawa imej yang kuat dan memikul harapan tinggi rakyat Malaysia, namun, perlu disedari, kita sudah hilang 70 emas daripada yang dimenangi di Kuala Lumpur 2017 apabila ada jenis sukan atau acara yang digugurkan tuan rumah kali ini,” katanya.

Kesemua pengurus pasukan juga diingatkan bahawa tarikh pengesahan penyertaan dengan nama atlet ditetapkan pada 15 Ogos ini, manakala penyerahan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (Phisgoc) ialah 1 September.

“Mengenai makanan halal yang dikhuatiri sukar disediakan di Subic, kesemua 13 jenis sukan yang ada pasukan kita, mungkin terpaksa menginap di Perkampungan Sukan yang memakan masa perjalanan 30 hingga 45 minit kerana di situ sudah terjamin dan dibuka 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MOM, Datuk Naziffudin Najib berkata, persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang mahu menghantar atlet-atlet Kategori B (menanggung sendiri perbelanjaan) wajib menjelaskan wang pendahuluan sebanyak 50 peratus pada tarikh yang ditetapkan. - UTUSAN ONLINE