Ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad berkata, negara Asia Timur berkenaan menjadi pilihannya kerana pasukannegara itu mempunyai kekuatan yang hampir seimbang dengan Malaysia.

Beliau berkata, 12 pemain telah disenaraikan ke latihan persediaan berkenaan dari 7 hingga 20 Jun ini.

“Ini adalah kali kedua kita mengadakan latihan di Korea memandangkan kita pernah mengadakan program latihan sama sebelum bermulanya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,” katanya.

Abdul Talib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan pakaian skuad negara di antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Kovra Enterprise di ibu pejabat PSM, di sini, hari ini.

Selain latihan di Korea, katanya, skuad negara juga akan menyertai Piala Raja Thai serta satu kejohanan di India sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2019.

Beliau memaklumkan skuad negara akan menyertai dua daripada empat acara pada Sukan SEA 2019, namun enggan mendedahkan acara berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, mereka akan menghantar barisan muda untuk menghadapi Kejohanan Asia di Kunming, China dari 8 hingga 15 Jun ini memandangkan kejohanan berkenaan hanya mempertandingkan acara beregu sahaja.

Empat pemain yang dipilih adalah Muhammad Syahmi Husin, Muhammad Noraizat Nordin, Muhammad Azli Ahmad Zaki dan Amirul Zazwan Amir.

Senarai pemain ke Korea Selatan:

Muhammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zulkifli Abdul Razak, Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Said Ezwan Said De, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Mohamad Azlan Alias, Muhammad Norhafizi Abd Razak, Mohd Hafizul Hayazi Adnan, Farhan Adam, Mohd Muqlis Borhan, Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizul Abd Razak. - BERNAMA