Skuad golf negara mempamerkan aksi cemerlang di Yas Links, apabila meraih tiga emas melalui Zulhilmi Zolkiffly bagi kategori kemahiran individu lelaki divisyen 3 dan Nur Iman Izzad Md Noor dalam divisyen 5 dalam acara sama, manakala, Muhammad Jumaidi Yusof dan Hadi Irfan Mohamed Rahaizah merangkul emas acara unified sports alternate shot team play, divisyen 1.

Sementara itu, Devakausalya dan Siti Rohimah Mohd Nizam masing-masing memenangi pingat perak melalui acara lompat jauh wanita divisyen F2 dan F9.

Emas pertama negara diperoleh melalui Nurasmah Mohd Shah dalam acara bocce wanita individu pada Isnin dan Selasa lalu pula, Muhammad Haziq Rizal menyumbang emas kedua dalam acara Equestrian B1 'dressage'.

Mengulas mengenai kejayaan meraih lima pingat emas itu, yang melebihi sasaran dua emas, Ketua Delegasi Malaysia ke Sukan Olimpik Khas, Lam Saw Yin berkata, pencapaian itu berjaya dilakar melalui keazaman yang tinggi dan kerja keras seluruh kontinjen.

"Di setiap divisyen (bagi keupayaan atlet) untuk setiap sukan, para atlet benar-benar menunjukkan tekad untuk melakukan yang terbaik, mendapat sokongan jurulatih dan rakan sepasukan.

“Secara keseluruhannya sokongan berterusan daripada delegasi terdiri daripada pegawai, jurulatih dan rakan atlet membantu meraih kejayaan ini dan memperkayakan pengalaman semua terutama para atlet," katanya kepada Bernama.

Bintang antarabangsa, Keala Settle dan Nicole Scherzinger dijangka akan mengadakan persembahan pada majlis penutup yang berlangsung di Stadium Sukan Bandaraya Zayed bermula pukul 7 malam (11 malam waktu Malaysia), hari ini, yang turut menyaksikan penyerahan baton tuan rumah kepada penganjur Sukan Olimpik Khas Berlin 2023. - BERNAMA