Timbalan Presidennya, Vincent Chen berkata, badan induk itu memberi tempoh tiga bulan kepada lima ahli gabungan berkenaan untuk mengemukakan permohonan rayuan kepada mereka.

“Mengikut perlembagaan MAKAF, mereka masih mempunyai tempoh untuk mengemukakan rayuan penggantungan yang dikenakan ke atas mereka sejak Jun lepas.

“Sekiranya mereka berminat, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada MAKAF di mana perkara berkenaan akan dibincangkan pada majlis tertinggi MAKAF, tapi sehingga hari ini, kita tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan MAKAF yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Mohd. Ali Rustam di sini, hari ini.

Mohd. Ali pada Jun lalu mengumumkan MAKAF menggugurkan keahlian lima persatuan negeri yang menjadi ahli gabungannya kerana didapati melanggar perlembagaan badan induk berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

Lima persatuan terbabit adalah Persatuan Karate-Do Wilayah Persekutuan Putrajaya, Persatuan Karate-Do Perak, Persatuan Karate-Do Pahang, Persekutuan Karate Pulau Pinang serta Persekutuan Karate Goshin-Ryu Malaysia.

Untuk rekod, MAKAF berpecah dua kem selepas 12 daripada 22 ahli gabungan, mengundi tidak percaya terhadap badan induk itu semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan di Ipoh pada 9 Jun lepas.

Presiden Persatuan Karate Putrajaya, P.Thiagu mendakwa, beberapa isu melibatkan badan induk dan antaranya penyalahgunaan peruntukan badan tersebut untuk kepentingan peribadi, kegagalan MAKAF membantu atlet yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dan juga melakukan pelaburan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan daripada majlis tertinggi. - BERNAMA