Adakah kita berada di atas landasan yang betul dan sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar berdaya saing sesuai dengan keinginan kita untuk tampil sebagai negara maju.

Di Malaysia, ada yang menjadi atlet dan berjaya kerana didorong oleh kebolehan semulajadi (gifted), dorongan ibubapa atau kebolehan yang digilap ketika di bangku sekolah.

Malangnya kalau kita jengok aktiviti-aktiviti di peringkat pra-sekolah, anak-anak kita amat kurang didedahkan de­ngan asas sukan. Mereka sekadar menjalani aktiviti-aktiviti berbentuk kecergasan dan ke­seronokan semata-mata tanpa arah tujuan.

Di peringkat prasekolah (ta­dika) misalnya, anak-anak kecil berusia 4 atau 5 tahun yang tidak tahu apa-apa tentang su­kan hanya mengikut arahan guru.

Paling sedih, mereka ini ma­sih didedahkan dengan acara-acara seperti lari dalam guni, tiup belon atau lari bawa telur dalam sudu atau ‘sukan-sukan’ yang tidak langsung da­pat membentuk minda dan kemenjadian mereka sebagai atlet masa hadapan.

Agaknya sampai bila kita ha­rus terus begini. Alangkah baiknya kalau dalam usia itu, me­reka didedahkan dengan asas-asas pengetahuan dan permainan sukan seperti bola sepak, badminton atau renang atau acara-acara lebih bermanfaat dan dapat membentuk siasah mereka untuk bergelar atlet pada satu hari nanti.

Dan satu lagi yang mengejutkan apabila setiap kali kita meraikan Hari Sukan Negara (Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun), pengisiannya sama sahaja.

Ibu bapa diajak ‘berzumba’ atau senamrobik yang tidak ubah semacam pesta joget de­ngan setiap gerakan diiringi pula oleh lagu-lagu rancak.

Di sekolah-sekolah pula, didapati jumlah kehadiran murid pada minggu-minggu terakhir sebelum cuti akhir tahun agak merosot.

Alangkah bermanfaat jika ma­sa yang terluang itu diisi dengan sesi bersukan agar murid-murid tidak berasa ‘kosong’ tanpa sebarang aktiviti berfaedah sehingga ada yang ‘malas’ ke sekolah atau lebih senang mengikut ibu bapa bercuti atau melancong ke luar negara.

Bagi kanak-kanak pra-seko­lah mereka mungkin sudah bo­leh didedahkan dengan aktiviti yang bersifat sukan seperti bola sepak, badminton dan beberapa acara lain yang bersesuaian (berskala kecil). Mungkin boleh ubah saiz padang, bola yang digunakan dan guru yang memiliki sedikit asas tentang sukan.

Pengisian aktiviti Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun juga perlu diubah. Bagi kalangan ibu bapa termasuk warga emas memadailah dengan penganjuran acara jalan kaki atau ‘jalan-jalan’ di taman rekreasi dan bukannya berzumba yang lebih sesuai jika kita menyambut ‘Hari Kecergasan’ atau Hari Kebangsaan.

Mulakan asas yang betul dan bijak. Berubahlah dari ba­wah agar negara kita terus ma­ju dalam bidang sukan.
Semoga sembang pertama ming­gu ini membawa manfaat.