Nama Zaqhwan berada dalam senarai pelumba CP150 pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing selepas tidak beraksi musim lalu kerana memberi tumpuan kepada Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dan Seluruh Jepun.

Pelumba berusia 24 tahun itu yang juga juara Asia kelas SuperSports 600cc 2014 dan 2016 akan bergandingan bersama pelumba muda meningkat naik, Azroy Hakeem Anuar dan juara WIRA 2015, Harith Farhan Baharin.

“Saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk kembali ke litar Cub Prix. Banyak yang saya rindui di sini.

“Sepatutnya penghujung tahun lalu lagi saya sudah beraksi tetapi tangan saya mengalami kecederaan selepas terjatuh di Jepun dan pusingan terakhir ARRC di Thailand.

“Tangan saya sudah hampir pulih sepenuhnya, jadi saya berharap dapat memberi aksi terbaik di Jasin nanti.

“Cuma mungkin saya perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera RS150R ini dan juga keadaan litar Cub Prix yang cukup teknikal. Hasil ketika sesi ujian dan latihan sebelum ini juga agak positif. Kita tunggu sahaja perlumbaan sebenar nanti,” kata Zaqhwan.

Zaqhwan dan Azroy merupakan dua pelumba yang berjaya menghadiahkan podium buat kem Honda sejak saingan CP150 diperkenalkan pada musim 2017.

Zaqhwan muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan musim 2017 di Temerloh manakala Azroy menaiki podium di tempat ketiga pada pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan musim lepas. - UTUSAN ONLINE