Pelumba MotoGP, Franco Morbidelli dan pelumba Moto3, Andrea Migno berkongsi teknik-teknik senaman di gimnasium sebelum memberi tunjuk ajar dengan simulator lumba diikuti kaedah lentur dan regangan Pilates pada hari pertama latihan.

Muhammad Alif Ashraf kini mengikuti program Kem Master VR46 Yamaha edisi kelapan bermula 4 September lalu bersama empat lagi pelumba muda iaitu Sawapol Nillapong, 16, dan Suttipat Patchareetorn, 18, dari Yamaha Motor Thailand; McKinley Kyle Paz, 18, (Yamaha Motor Filipina) serta Jake LeClair, 18, (Yamaha Motor Kanada).

Kesemua mereka turut menjalani latihan menggunakan jentera YZ250F di bawah tunjuk ajar pelumba yang pernah menjuarai beberapa kejohanan trek tanah rata di England, Amerika dan Eropah iaitu Marco Belli.

Menurut Muhammad Alif Ashraf, dia sangat berbesar hati diberikan peluang untuk menjalani latihan profesional sedemikian.

Katanya, latihan di gimnasium dan menggunakan simulator lumba sangat berharga buatnya sebagai persiapan sebelum menghadapi perlumbaan sebenar.

Manakala latihan di trek tanah rata, dia dapat belajar beberapa aspek penting semasa memasuki dan keluar selekoh untuk dipraktikkan dalam perlumbaan nanti.

“Saya juga memberi fokus kepada kedudukan badan yang betul semasa berlumba.

“Latihan-latihan sebegini sangat bermanfaat untuk masa depan saya sebagai seorang pelumba,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Kesemua mereka juga berkesempatan melawat Kelab Rasmi Peminat Valentino Rossi Tavullia dan diraikan oleh Naib Presidennya, Flavio Fratesi.

Muhammad Alif Ashraf kini menyertai Kelas CP125 dalam Kejohanan Cub Prix Petronas Malaysia Kelas Terbuka 250 Kejohanan Superbike Malaysia. - UTUSAN ONLINE