Selepas cemerlang melakukan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan semalam, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing itu mengotakan janji untuk meneruskan momentum selepas sering gagal dalam beberapa percubaan sebelum ini.

Tengku Amirul Haffirudin menamatkan perlumbaan 12 pu­singan itu dengan catatan masa 10:34.956 saat.

Pelumba Hi Rev SCK Honda Racing, Md. Helmi Azman (10:36.206s) di tempat kedua manakala rakan sepasukannya, Md. Azhar Abd. Jalil ketiga (10:38.974s).

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya selepas gagal melakukannya di tempat sendiri (Terengganu) dua mingg­u lalu.

“Kali ini, saya berjaya mengatasi kekecewaan itu dan terima kasih kepada pasukan yang menyediakan jentera terbaik.

“Saya memaksimumkan kemampuan jentera dan ia tetap stabil sehingga tamat perlumbaan. Saya juga mengambil langkah berhati-hati kerana tahu bakal berdepan tentangan sengit Ahmad Afif Amran (Pe­tronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing),” katanya.

Afif yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh, kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata, diikuti Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang mengumpul 88 mata manakala Tengku Amirul ketiga (61 mata).

Bagi kelas CP115, Ahmad ­Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) meraih kemenangan pertama musim ini apabila muncul juara dengan catatan masa 9:44.542s, sekali gus mengatasi kekecewaannya di Terengganu.

Tempat kedua milik Md. Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 9:44.549s manakala Md. Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) di tempat ketiga dengan catatan masa 9:47.745s.

Selepas konsisten dengan penamat selaku naib juara dalam empat pusingan lalu kecuali di Terengganu yang menyaksikannya menduduki tempat ke-12, Ahmad Syukran mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan musim ini selepas mengumpul 109 mata.

Dalam pada itu, pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, Md Zaki Ahmad Zamri menepati ramalan apabila muncul juara kelas Wira dengan catatan masa 8:01.922s.

Dia mengetepikan pencabar rapat, Md. Aliff Danial Md. Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) di kedudukan kedua dengan masa 8:02.100s. - UTUSAN ONLINE