Stoner, 24, juara dunia 2007 memberikan cabaran hebat musim lalu, tetapi gagal menutup kempen dengan keputusan diharapkan setelah terlepas tiga perlumbaan kerana sakit. Dia menduduki tangga kedua di Portugal, selain menang di Australia dan Malaysia.

Keyakinan pelumba Ducati itu untuk menghadapi perlumbaan di Litar Losail amat tinggi, kerana dia pernah menang di sini selama tiga musim terakhir, malah mencatat masa terpantas pada sesi ujian terakhir, Mac lalu.

"Jika Casey berada pada prestasi terbaiknya, dan jentera Ducati pula menunjukkan prestasi seperti dijangka, kedua-dua kombinasi ini akan memberi masalah besar buat kami,'' kata pengarah urusan Yamaha, Lin Jarvis.

Yamaha mempamer prestasi hebat musim lalu apabila Rossi mengetuai dominasi 1-2 mereka pada kedudukan pelumba dunia bersama Jorge Lorenzo, malah mereka juga menjuarai gelaran pengeluar.

Rossi, yang merangkul tujuh kejuaraan MotoGP dijangka menerima tentangan hebat daripada generasi pelumba muda seperti Stoner (Ducati), pelumba Amerika Syarikat, Ben Spies (Yamaha Tech 3), Lorenzo (Fiat Yamaha) dan Daniel Pedrosa (Honda).

Rossi, 31, mengakui, persaingan kali pasti lebih sengit dengan kehadiran ramai pelumba muda berbakat, yang memasang cita-cita besar untuk menumpaskannya.

"Saya rasa pertarungan kali ini jauh lebih sengit. Ramai pelumba muda yang bercita-cita tinggi terutama Ben Spies, begitu juga Marco Simoncelli (Honda) dan Andrea Dovizioso (Honda).

"Lagipun, sejak beberapa tahun lalu, litar Qatar tidak begitu sesuai dengan jentera kami, tetapi sesi ujian sebelum ini berjalan baik dan harap kami dapat meneruskan prestasi itu,'' ujar Rossi. - AFP