Pasukan MotoE berada di Jerez selama tiga hari kerana menyertai sesi ujian pramusim, dan kesemua 18 jentera yang di bawa masuk ke trek pada hari pembukaan, semalam, musnah terbakar.

Tragedi kebakaran itu dipercayai berlaku sekitar pukul 12.15 tengah malam waktu tempatan (7.15 pagi waktu Malaysia), turut memusnahkan kawasan paddock yang menempatkan jentera Ego Corsa.

“Kebakaran di banggunan baharu E-paddock telah menyebabkan kemusnahan harta benda untuk Piala Dunia MotoE Enel FIM. Punca kebakaran itu berlaku masih lagi dalam siasatan. Mujurlah tiada sesiapa yang ditimpa kecederaan.

“Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini nanti terutama melibatkan jumlah sebenar kerugian terpaksa ditanggung dan perubahan mungkin berlaku dalam kalendar perlumbaan,” kata penganjur dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejuaraan itu telahpun diumumkan tahun lalu, sebagai kategori baharu dalam perlumbaan MotoGP yang melibatkan 10 pusingan pada Grand Prix yang berlangsung Ahad.

Sebanyak 12 pasukan menyertai kejuaraan itu dan antara pasukan MotoGP yang terlibat ialah Tech 3, Pramac, LCR, Avintia, SIC Racing (yang berada di bawah pasukan Petronas Yamaha) dan Gresini. Pelumba yang telahpun mengesahkan penyertaan mereka antaranya Sete Gibernau, Bradley Smith dan Xavier Simeon.

Perlumbaan pertama akan dilangsung pada Grand Prix Motosikal Sepanyol di Jerez, 3 hingga 5 Mei ini. - AGENSI