Pelumba sensasi dari Itali itu mula mendahului perlumbaan kelmarin di pusingan keenam daripada 22 pusingan keseluruhan.

Rossi mula memimpin perlawanan selepas Stoner terjatuh. Sebelum insiden tidak diminta itu, pelumba Australia tersebut mendahului saingan GP Qatar dengan kelebihan dua saat.

Stoner yang memulakan aksi di Qatar dengan kedudukan petak pertama dilihat kecewa kerana gagal untuk memburu kemenangan keempat berturut-turut dirinya di GP tersebut.

Bermula dari pusingan keenam, Rossi memecut dengan pantas untuk mengekalkan kedudukan pertama, sebelum mengakhiri saingan perlumbaan malam di litar Losail dengan kelebihan 1.022 saat.

"Bagi saya, pasukan dan Yamaha, ia satu permulaan hebat untuk kami mengharungi musim ini.

"Kejayaan pasukan ini untuk meraih tempat pertama dan kedua, serta meraih 25 mata di litar ini adalah seperti emas.

"Saya merasakan, sejak 2005, saya tidak pernah mencatat kemenangan pada perlumbaan pertama di setiap musim. Oleh yang demikian, kami akan terus mengekalkan persembahan seperti ini," kata pelumba sensasi dari Itali tersebut.

Rakan sepasukan Rossi di Yamaha, Jorge Lorenzo turut mempamerkan tunggangan bertenaga untuk meraih tempat kedua di perlumbaan tersebut.

Pelumba pasukan Yamaha dari Sepanyol itu melakukan tunggangan dengan tangan kanannya berbalut, selepas dia terlibat dengan satu kemalangan pada sesi ujian litar.

Dia berjaya merampas kedudukan ketiga daripada pelumba Ducati, Nicky Hayden pada pusingan ke-20, sebelum memintas di bahagian selekoh dalam untuk merebut tempat kedua daripada pelumba Honda, Andrea Dovizioso di pusingan akhir.

Tindakan berani itu membolehkan Yamaha menguasai podium Grand Prix Qatar dengan kemenangan tempat pertama dan kedua.

Pelumba Honda dari Itali, Dovizioso terpaksa berpuas hati untuk menduduki tempat ketiga. - REUTERS