Perlumbaan kelimanya di MotoGP, pelumba berusia 20 tahun itu mencipta kejutan dua minggu lalu di Jerez, apabila muncul pelumba termuda merampas petak utama perlumbaan Grand Prix sekali gus memecah rekod dilakar pada 2013 oleh pelumba dominan Marc Marquez.

Begitupun, Quartararo gagal menamatkan perlumbaan selepas menghadapi masalah mekanikal dengan menyaksikan perlumbaan itu dimenangi Marquez.

“Kami hanya boleh melihat rumusan positif daripada GP Sepanyol. Kami menang petak utama.

“Kami berjuang untuk merebut podium dan pada Isnin, kami melakukan catatan terpantas ketika ujian yang mana kami mencuba banyak perkara baharu bagi perlumbaan akan datang,” katanya kepada laman web Yamaha SRT.

Pelumba kelahiran Nice itu, tidak sabar untuk berlumba di depan penyokong Perancis buat kali pertama sejak melonjak ke kategori MotoGP musim ini.

“Bagus untuk pergi ke Le Mans selepas hujung minggu hebat seperti kami alami di Jerez. Ada ramai penyokong di GP Perancis dan ia memberi motivasi tambahan buat saya,” katanya.

Juara dunia lima kali, Marquez sekali lagi mendahului kejuaraan selepas dua kemenangan dan satu tangga kedua dalam empat perlumbaan pertama namun dia hanya satu mata di depan rakan senegara dari Sepanyol, Alex Rins.

Jurang itu terlalu kecil kerana Marquez terjatuh ketika mendahului GP Amerika.

“Le Mans boleh jadi GP menyukarkan, terutama dengan keadaan cuaca jadi kami perlu bersiap sedia bagi apa saja keadaan,” kata Marquez.

Rins beraksi cemerlang dengan jentera Suzuki setakat ini. Pelumba muda Sepanyol itu menang di Texas selepas Marquez terjatuh dan kedua di Jerez.

“Keputusan akhir-akhir ini amat positif, tapi kami tetap bertenang dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini,” kata Rins. - AFP