Dalam perlumbaan yang berlangsung di Termas de Rio Hondo, Quartararo yang berasal dari Perancis mengumpul lapan mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan masa 42:04.091s.

"Saya sangat gembira dengan apa yang saya capai di Argentina. Saya risau sebelum datang ke sini (Argentina) kerana kami tidak pernah melakukan ujian di litar ini dan ia merupakan litar yang menyukarkan saya semasa menunggang di kelas lain.

“Tetapi hujung minggu ini saya sering berada di tempat 10 teratas, jadi ia amat positif.

“Banyak saya belajar daripada pelumba lain. Saya melakukan kesilapan pada permulaan, kerana terlalu ingin melakukan sesuatu dengan baik. Ia merupakan kali pertama bagi saya di tengah kelompok pelumba yang bergelut dengan tangki minyak yang masih penuh, jadi ia bukannya mudah.

“Kemudian kami mendapat rentak masing-masing dan berlumba dengan baik. Saya ingin mengucap terima kasih kepada keseluruhan anggota pasukan di atas tugas yang telah mereka laksanakan sepanjang hujung minggu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, hari ini.

Bagaimanapun, rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli dari Itali mengalami kemalangan di lap terakhir, semasa berentap untuk tempat keenam.

Morbidelli menemui kemalangan di selekoh ketujuh dalam lap terakhir semasa berada di kedudukan kelapan dan cuba meraih tempat enam teratas.

Quartararo dan Morbidelli kini masing-masing berada di kedudukan ke-12 dengan lapan mata dan ke-16 dengan lima mata secara keseluruhan.

Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing Khairul Idham Pawi mempamerkan tunggangan yang baik untuk mengumpul tiga mata pertamanya di dalam kategori Moto2 selepas merekodkan 40:02.613s dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

"Saya amat gembira dengan jentera dan terutamanya pasukan kerana kami bekerja keras menjelang perlumbaan ini. Saya melakukan kesilapan dan tayar menjadi haus begitu cepat dan saya sedang cuba mengatasi masalah ini.

”Perkara positif kali ini ialah saya sentiasa meningkat pada setiap lap dan cuba mengurangkan jurang dengan pelumba hadapan.

“Sekarang kami hanya perlu memperbaiki perkara-perkara kecil untuk menjadi lebih lebih baik dalam perlumbaan,” kata Khairul Idham yang berada di tangga ke-18 dalam kategori Moto2.

Perlumbaan seterusnya ialah di Ciircuit of the Americas di Austin, Texas Amerika Syarikat dari 12 ke 14 April.- BERNAMA