Quartararo yang mencatatkan masa terpantas pada ujian hari pertama, mencatatkan masa 1 minit 31.639 saat, manakala Morbidelli mencatatkan masa 1 minit 32.253 saat.

Pelumba Sepanyol, Danillo Petrucci dari Ducati di tempat kedua di belakang Quartararo selepas mencatatkan masa 1 minit 32.115 saat di sirkit sepanjang 4.2 kilometer itu.

Bercakap selepas ujian, Quartararo menjelaskan dia gembira dengan peningkatan jentera Yamaha YZR-M1, menjelang perlumbaan sebenar pada 15 September ini.

“Kami menguji beberapa bahagian hadapan motosikal yang memberikan kesan positif kerana litar ini memerlukan brek yang banyak dan kita perlu dapatkan maklumat daripada motosikal.

“Kami tidak melakukan pusingan yang banyak pada hari kedua berbanding pada hari pertama, namun kami temui beberapa perkara baik untuk perlumbaan itu. Saya benar-benar teruja untuk perlumbaan pada hari minggu kerana kami benar-benar pantas,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh pasukan, hari ini.

Pandangan yang sama dikongsi Morbidelli, yang juga gembira dengan catatan masanya, walaupun mengujinya di bawah cuaca yang panas.

“Kami menjadikan motosikal laju di selekoh, yang mana kami tidak dapat lakukan di Silverstone, dan saya gembira dengan kemajuan dicapai. Saya gembira dengan apa yang kami capai untuk menghadapi perlumbaan pada hari minggu.

“Namun saya tidak rasa masa tidak menunjukkan apa yang akan berlaku, kerana keadaan litar yang baik dan juga masa ujian yang banyak, ujian selalunya berlainan daripada apa yang benar-benar berlaku,” tambahnya.

Pusingan ke-13 MotoGP akan berlangsung di litar San Marino pada 13 hingga 15 September ini. - BERNAMA